Pengenalan

Hala tuju pendidikan tinggi di seluruh dunia sedang mengalami perubahan akibat daripada globalisasi dan kesannya dapat dilihat dalam liberalisasi ekonomi, pengantarabangsaan, penguasaan Bahasa Inggeris dan pengujian dan ranking di peringkat antarabangsa. Ini membuka ruang dan peluang untuk kefahaman neoliberal bertapak serta berpengaruh dengan lebih luas dalam segala bidang.  Kini kualiti dan kecemerlangan pendidikan diukur menggunakan petunjuk prestasi dalam domain pengajaran, penerbitan, penyelidikan dan antarabangsa yang kemudian diiktiraf oleh agensi-agensi penarafan antarabangsa yang tertentu, termasuk mereka yang berkepentingan komersil untuk mengaut keuntungan. Pengantarabangsaan  ditakrif sebegitu rupa sehingga  menyebabkan peningkatan jumlah pelajar antarabangsa di pasaran yang menguntungkan pihak mereka (berdasar kriteria yang mereka tetapkan) supaya universiti-universiti di seluruh dunia bersaing untuk pasaran yang sama dan kelangsungannya bergantung pada hal ini sebagai satu ciri kejayaan.  Ini bertembung dengan hakikat umum bahawa  kerajaan sesebuah negara itu tidak mempunyai kemampuan untuk bersaing dalam hal ini kerana kekurangan peruntukan khususnya universiti di dunia membangun. Selaras dengan ini diperkenalkan pula sistem penarafan (ranking) antarabangsa sebagai kerangka percaturannya yang kini mengikat banyak universiti termasuk di Malaysia sendiri. Akibatnya, universiti hari ini tertumpu pada meningkatkan kedudukannya dalam penarafan tertentu (yang nilai akademik diragukan) dan ketersebaran namanya yang bermaksud seolah-olah kuantiti serta mutu penerbitan dan geran penyelidikan menjadi sasaran mutlak mengatasi aktiviti utamanya iaitu pendidikan (termasuk pengajaran dan pembelajaran serta perkhidmatan masyarakat setempat) yang sewajarnya menggerakkan kesedaran intelektual dan tanggungjawab universiti  terhadap umat manusia, justeru universiti ketandusan ruhnya.

Berlatarbelakangkan inilah maka Seminar ini dicetuskan  kerana dalam konteks Malaysia, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK, semakan 1996) telah digubal pada tahun 1988 sebagai Falsafah Pendidikan Negara bagi memberi hala tuju pendidikan yang sepatutnya berterusan, menyeluruh dan bersepadu, sekaligus seimbang dan harmonis berdasarkan kepercayaan teguh kepada Tuhan bagi melahirkan insan yang mempunyai kesejahteraan diri. Lantas berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab untuk menyumbang kepada keluarga, masyarakat, negara dan dunia.  Walau bagaimanapun, sejauh manakah FPK telah berjaya membimbing pendidikan atau telah digunakan sebagai panduan dalam memperkasakan Pendidikan masih samar-samar. Malah belum ada dalam tempuh tiga desawarsa sebarang penilaian mendalam dilakukan setakat ini.  Maka sejauh manakah FPK bermanfaat kepada alam sejagat, tidak terhad kepada Malaysia saja? Ini bermakna FPK juga mempunyai citra global dan antarabangsa, malah universal bentuknya dalam perspektif dan pandangan alam Islam.  Adalah menjadi sasaran setiap perbincangan yang dikupas dalam Seminar ini akan mampu memperkasakan lagi serta membantu memugar sistem pendidikan yang ada dalam mencapai matlamat sebenar pendidikan, berpandukan pengalaman setiap pembentang kertas kerja yang dijemput khas untuk tujuan ini. Mereka merentasi pelbagai dimensi serta institusi dan benua agar satu  model hidup boleh diketengahkan bagi mengatasi pelbagai cabaran yang ada dan mendatang berasas kefahaman mendalam lagi berakar umbi kesedaran tinggi , dan dengan demikian mampu mengembalikan semula, sistem Pendidikan yang disuburi dengan ruh yang selama ini kian luntur.